Guru-guru pula tidak terhad kepada guru tingkatan lima sahaja, malah guru-guru tingkatan 1,2,3 dan 4 juga. Guru sekolah rendah juga termasuk.
Kejayaan anak-anak warriors adalah kejayaan anda bersama. Tahniah dan terima kasih sekali lagi.
Semoga Allah memberi ganjaran yang terbaik untuk kalian semua, dunia dan akhirat.
NIKMAT KEJAYAAN ADALAH UJIAN
قال هذا من فضل ربي ليبلوني ءأشكر أم أكفر (النمل :٤٠)
“Dia berkata, “Ini adalah dari limpah kurniaan Tuhanku, untuk menguji aku, sama ada aku bersyukur atau kufur (dengan nikmat yang diberikan)” (Al-Naml:40)
Dalam pada saya gembira dengan kejayaan cemerlang anak-anak Warriors, ayat Al-Quran di atas terlintas di benak fikir saya. Sejujurnya, ayat ini menjadikan saya agak “reserved” dalam meraikan apa-apa saja kejayaan atau nikmat yang saya terima. Dalam hal SPM kali ini, saya cukup sedar, kejayaan ini adalah ujian untuk saya dan warga SAS; adakah kami akan menjadi hamba Allah yang lebih bersyukur dan menghargai nikmat, atau kami lalai dan lali sehingga lupa untuk berterima kasih kepada Allah, Sang Pemberi nikmat, Sang Musabbib.
Mungkin apabila ada orang bertanya, “Apakah rahsia kejayaan SAS?” Kitapun teruja dan mulalah mereka-reka jawapan, bahawa kita telah buat itu dan ini.
Memang kita perlu berusaha, kerana usaha itu adalah sunnatullah. Namun, jangan sampai kita terlupa faktor utama kejayaan kita adalah RESTU Allah ‘azza wa jalla.
KISAH DUA ORANG PEMILIK KEBUN
Dalam Surah Al-Kahfi ayat 32 hingga 44, Allah SWT menceritakan dengan panjang lebar kisah mengenai dua orang pemilik kebun. Salah seorang daripada mereka diberikan rezeki buah-buahan dan hasil tanaman yang lebih banyak berbanding dengan sahabatnya. Hal ini menjadikan dia takbur dan bongkak terhadap Allah SWT. Walaupun sahabatnya cuba memberikan nasihat, tapi tidak diendahkannya. Dia hanya tersedar keterlanjurannya apabila Allah menarik balik semua nikmat berkenaan daripadanya. Namun apakan daya, nasi sudah menjadi bubur.
Hal ini yang menakutkan saya sebenarnya. Saya sangat risau jika ucapan alhamdulillah saya belum memadai untuk mencapai tahap syukur yang sepatutnya. Lebih saya risaukan jika saya terpedaya dengan diri sendiri, lalu menganggap kejayaan SPM ini adalah hasil kerja keras semata-mata, sedangkan hakikatnya kejayaan ini daripada Allah jua.
KISAH QARUN
Kisah Qarun di dalam Al-Quran juga berkisar kepada isu yang hampir sama. Qarun berkata, “sesungguhnya semua kekayaan ini adalah hasil pengetahuanku.” Akhirnya Allah menenggelamkan Qarun dan harta bendanya. Sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.
KESIMPULAN
Sebagai kesimpulan, kejayaan SAS sebagai SBP nombor satu di Malaysia dalam SPM 2023 adalah nikmat besar dari Allah yang perlu disyukuri dengan penuh kesedaran. Saya ingin menekankan pentingnya kita sesri dan akui “peranan” Allah dalam setiap kejayaan. Kita juga perlu mengiktiraf usaha kolektif murid, guru, dan seluruh warga sekolah. Kejayaan ini juga adalah ujian untuk melihat sama ada kita bersyukur atau kufur dengan nikmat yang diberikan. Ambillah pengajaran dari kisah dalam Al-Quran yang mengingatkan kita tentang bahaya kesombongan dan pentingnya kerendahan hati. Usaha manusia adalah "sabab", tetapi hanya dengan izin Allah, usaha tersebut membawa hasil, mengingatkan kita untuk selalu bersyukur dan tidak terpedaya dengan nikmat yang diterima.
Tahniah Warriors 1923.
Nor Azam bin Abdullah
Pengetua SAS
12.24 pagi
29/5/24
Kuala Lumpur
https://www.facebook.com/share/BRHPquWRA9PnuNFE/?mibextid=oFDknk