Jika kita benar-benar percaya kepada merit, maka kita harus melihat merit dalam konteks keadilan sosial, bukan sekadar melihat siapa yang mendapat markah lebih tinggi di atas kertas, tetapi siapa yang telah berjuang lebih kuat untuk sampai ke tahap itu.
Apa yang kita nak dalam SBP dan MRSM kita? Adakah kita mahu sekolah elit yang menjadi tempat mengumpulkan mereka yang sudah cemerlang? Atau kita mahu sekolah yang memberi peluang kepada mereka yang paling memerlukan untuk mencapai kecemerlangan?
Itulah persoalan sebenar keadilan dalam pendidikan.
............
Soal Ranking SBP/MRSM vs Masa Depan Pelajar Susah?
Ada juga yang risau, “Kalau ramai anak B40 masuk, prestasi SBP/MRSM akan merosot.”
Persoalannya, sekolah untuk ranking, atau sekolah untuk kehidupan?
Apa gunanya ranking sekolah tinggi kalau ia hanya membantu yang sudah pun berkelebihan? Bukankah lebih baik sekolah menjadi alat transformasi sosial, membantu mereka yang benar-benar memerlukan?
Lihatlah dalam sejarah, banyak tokoh negara berasal dari latar belakang susah. Mereka berjaya bukan kerana mereka kaya, tetapi kerana ada sistem yang memberi mereka peluang untuk mengubah nasib. Kita tidak mahu generasi terus terusan miskin kerana sistem yang memiskinkan mereka.
Kalau kita asyik utamakan ranking tanpa peduli kepada nasib pelajar yang lebih memerlukan, apa nilai sekolah tersebut?
.........
Realiti Kapasiti SBP/MRSM
Fakta mudah: Setiap tahun, hampir 100,000 murid kohort tingkatan satu atau sekitar 60,000 tingkatan empat memohon SBP/MRSM, tetapi hanya 20,000 tempat sahaja yang ada, 10,000 di tingkatan satu, dan 10,000 di tingkatan empat.
Secara kasar, 60%-70% murid Tingkatan satu dan Tingkatan empat tidak memohon pun, mereka kekal di sekolah harian.
Maksudnya? Majoriti ibu bapa masih percaya kepada sistem sekolah harian. Yang perlu kita lakukan ialah memperkukuhkan sekolah biasa agar lebih berkualiti.
Mentaliti "SBP/MRSM Sahaja Bagus" Perlu Diubah. Masalah sebenar bukanlah anak-anak T20 tidak dapat masuk SBP/MRSM. Masalahnya ialah mengapa sekolah harian dianggap sebagai pilihan kedua.
...........
Jika sekolah harian setanding SBP/MRSM, adakah masih ada ibu bapa yang kecewa sebegini?
Atas sebab itu, Kementerian Pendidikan Malaysia memperkenalkan konsep Sekolah Fokus, Sekolah Aspirasi, dan Sekolah Inspirasi, usaha untuk memperkasakan semua peringkat dan jenis sekolah.
Tapi ini bukan tugas kerajaan semata-mata. Masyarakat, sektor korporat, alumni, dan NGO juga perlu bersama-sama menyumbang untuk membina ekosistem pendidikan yang lebih baik.
...........
Pendidikan Manusiawi
Dalam konsep Madani, pendidikan bukan sekadar soal akademik. Ia adalah soal membentuk manusia, membina masyarakat yang adil dan sejahtera.
Jika kita benar-benar mahu keadilan, kita harus menyokong sistem yang memberi peluang kepada yang lebih memerlukan. Kita harus melihat pendidikan bukan sebagai alat untuk mengekalkan status quo, tetapi sebagai alat untuk mengubah kehidupan.
Kita tidak mahu pendidikan yang hanya melahirkan individu cemerlang tetapi gagal memahami erti keadilan. Kita mahu sistem pendidikan yang melahirkan manusia; manusia yang tahu erti tanggungjawab, empati, dan keadilan sosial.
........
Jadi, kepada ibu bapa yang kecewa.
Jangan jadikan SBP/MRSM sebagai satu-satunya kayu ukur kejayaan anak anda. Pendidikan tidak terhenti di sana. Jika benar percaya pada sistem pendidikan negara, berikan sokongan untuk memperkasakan semua sekolah, bukan hanya berebut masuk ke segelintir sekolah elit.
Sebab pendidikan yang adil bukan sekadar soal siapa yang masuk ke mana, tetapi siapa yang mendapat peluang yang mereka benar-benar perlukan.
Selamat Menyambut Ramadan Al Mubarak.
☺️
#MalaysiaMADANI#PendidikanManusiawi#KaramahInsaniah#PENAmadani